Pergi ke kandungan

Makam Hang Tuah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pintu Makam Hang Tuah
Makam Hang Tuah
Tugu Amanat Hang Tuah.

Makam Hang Tuah (Jawi: مقام هڠ تواه) yang terletak di Tanjung Kling, Melaka, Malaysia merupakan makam seorang pahlawan termasyhur Melaka di era Kesultanan Melayu Melaka di mana kisah kegagahannya menumpaskan sekumpulan lelaki yang mengamuk di Kampung Duyong. Kehebatannya ini sampai ke pengetahuan Sultan dan Hang Tuah dipanggil mengadap ke istana untuk dijadikan hulubalang berkhidmat dengan Istana Melaka. Kehebatannya dalam ilmu persilatan membuatkan beliau bersama empat sahabatnya diangkat sebagai legenda dalam sejarah Melaka.

Seni Bina Makam

[sunting | sunting sumber]

Makam tersebut panjangnya kira-kira 16.5 meter dalam sebuah kawasan seluas 60 meter persegi. Tingginya binaan itu ialah 3.7 meter. Di bahagian kepalanya terdapat binaan seperti sebuah mihrab kecil. Bahagian depan binaan itu terbuka luas seperti pintu dan kiri kanannya terbuka kecil seperti tingkap.

Binaan itu beratap yang diperbuat daripada batu-bata dan tirus ke atas seperti bumbung masjid-masjid di Melaka. Bahagian di atasnya terbentuk seperti teratai sebagaimana yang terdapat pada masjid-masjid di Melaka. Terdapat dua tembok yang menghubungkan bahagian kepala dengan bahagian kaki yang terdapat empat batang tiang bulat menunjang ke langit.

Empat batang tiang bulat yang melambangkan kekukuhan kuasa diperbuat daripada bata-bata tercacak megah menyerupai tiang-tiang masjid yang terdapat di beberapa buah masjid di Melaka termasuk Masjid Alai, Sempang dan Peringgit. Ada kemungkinan juga empat batang tiang yang sama tegak berdiri itu melambangkan empat orang sahabat karib — Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu.

Binaan seperti bentuk masjid itu nyata sekali melambangkan keislaman. Oleh itu adalah diyakinkan bahawa makam itu kepunyaan seorang Islam yang tinggi darjat sosialnya. Seluruh makam itu pula dilingkungi oleh tembok yang sangat kukuh tingginya 0.4 meter dan mempunyai satu pintu gerbang. Pintu gerbang itu menghadap ke laut dan mungkin ada jalan atau tangga khas menuju ke laut.[1]

Polemik Identiti Makam Hang Tuah

[sunting | sunting sumber]
Keratan Manuskrip Sulalatus Salatin yang disalin pada tahun 1223 H / 1808 M berkenaan kematian Hang Tuah dan dikebumikan di Tanjung Keling

Walaupun terdapat beberapa hikayat seperti Hikayat Hang Tuah menyebutkan bahawa Hang Tuah hilang begitu sahaja (ghaib) [2] dan terdapat yang mengatakan Hang Tuah meninggal dunia di Perak[3], namun Sulalatus Salatin yang dikarang oleh Tun Sri Lanang menyatakan bahawa Hang Tuah telah meninggal dunia seperti manusia biasa dan dimakamkan di Tanjung Kling dengan penuh adat istiadat.

Menurut kepercayaan masyarakat setempat, makam tersebut sebenarnya bukanlah milik Hang Tuah, sebaliknya dikatakan milik seorang India Muslim dari Gujerat hingga makam tersebut terkenal sebagai Keramat Keling[4]. Terdapat juga yang berpendapat bahawa makam tersebut sebenarnya adalah makam Bendahara Melaka yang juga berketurunan India Muslim iaitu Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir. Hal ini kerana pada tahun 1960-an dilaporkan bahawa penduduk setempat telah mengadakan upacara Mandi Safar di kawasan berhampiran makam tersebut yang dikatakan dilaksanakan sejak ratusan tahun, iaitu sejak kedatangan Portugis. Makam itu dipercayai milik seorang Bendahara Melaka yang telah dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Shah[5][6].

Pada 8 Januari 1985, Kerajaan Negeri Melaka telah mengiktiraf makam lama di Kampung Balik Bukit, di Tanjung Kling tersebut sebagai makam pahlawan Melayu, Hang Tuah. Menurut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abdul Rahim Tamby Chik, pengiktirafan ini dibuat berdasarkan kepada beberapa dokumen sejarah yang diperolehi, menyatakan Laksamana Hang Tuah dikebumikan di Tanjung Kling[7].

Di dalam teks Sulalatus Salatin Sejarah Melayu dicatatkan[8][9][10]:

Hatta maka Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmat Allah Taala, maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan; tiga hari baginda tiada nobat. Maka Khoja Hassanlah jadi Laksamana, menggantikan mertuanya. Maka Laksamana Khoja Hassan beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang lelaki, bernama Tun Abdul. Wallahu a'lamu bi'l sawab, wa ilaihi'l marji'u wa'l ma'ab.

Terdapat beberapa lokasi lain yang didakwa sebagai makam Hang Tuah, antaranya:

1. Palembang

2. Pulau Bintan

3. Tanjung Pinang

Namun, dakwaan bahawa makam Hang Tuah terletak di kawasan-kawasan tersebut tidak disokong oleh sebarang catatan purba atau sumber sejarah yang sahih. Satu-satunya lokasi yang disebut secara jelas dalam sumber klasik berkenaan makam Hang Tuah ialah di Tanjung Keling, Melaka, berdasarkan karya Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang dikarang oleh Bendahara Johor, Tun Seri Lanang, sekitar awal abad ke-17.

Karya tersebut dianggap antara sumber sejarah Melayu yang paling awal dan berwibawa daripada sumber orang Melayu kerana penulisnya hidup hanya kira-kira satu abad selepas kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Oleh itu, kenyataan Tun Seri Lanang mempunyai nilai sejarah yang tinggi dan lebih dipercayai berbanding pandangan moden yang muncul tanpa sandaran manuskrip lama.

Terdapat juga pihak-pihak tertentu yang berusaha menonjolkan versi sejarah lain dengan mempertikaikan kredibiliti Tun Seri Lanang melalui pelbagai andaian dan tuduhan. Namun, kajian akademik dan perbandingan sumber menunjukkan bahawa Sulalatus Salatin kekal sebagai rujukan utama dalam memahami tokoh-tokoh legenda Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah.

Laporan Arkeologi[11]

[sunting | sunting sumber]
Makam Hang Tuah ketika dijumpai pada tahun 1978


Apabila ia mula-mula ditemui pada tahun 1978, keseluruhan kompleks yang ketika itu dikenali sebagai Makam Tua iaitu tembok luar dan bentuk makamnya berada dalam keadaan baik. Tembok luar berdiri teguh dan sebatang pokok menutupi temboknya di penjuru timur laut. Plaster dindingnya sudah pun tertanggal di sana sini. Tuangan dinding masih kukuh dan dalam keadaan asal. Makam Tua ini dibersih sekali setahun iaitu dalam bulan Ramadan apabila kerja gotong royong tanah wakaf yang berhampiran dijalankan. Bulan lain itu, keseluruhan kompleks Makam ditutupi dengan semak samun.

Keadaan Makam Tua pada 1981 pula banyak berubah. Sebatang pokok besar telah patah dan menghempap makam. Tembok luar di bahagian timur dan utara runtuh dan menaranya mengalami kerosakan. Tembok bahagian selatan di tenggara sudah beralih dari kedudukan asalnya. Tumbuh-tumbuhan sudah pun hidup di pecahan-pecahan tembok. Keadaan ketika itu adalah membimbangkan dan akan runtuh.

Makam Tua di Tanjung Keling

[sunting | sunting sumber]

Makam Tua di Tanjung Keling ini ialah makam yang terpanjang di negeri Melaka. Oleh kerana ketiadaan jagaan harian ia mengalami kerosakan.

Kompleks Makam ini mengandungi dua bahagian: bahagian pertama ialah struktur yang 16 meter panjang dengan temboknya satu meter tinggi. Di bahagian kepala atau timur terdapat sebuah menara empat persegi dengan ketinggian 3.5 meter. Bahagian kaki atau barat pula mempunyai binaan empat persegi tetapi ianya tanpa menara dan mengandungi empat tiang pendek dan tingginya 75 cm. Fungsi binaan empat persegi ini dan tiang-tiangnya tidak dapat ditentukan. Binaan makam ini dilindungi oleh tembok luar sepanjang 25 meter, lebar 12 meter dan tingginya 1.3 meter. Tembok luar mempunyai pintu masuk tetapi tanpa tiang pintu. Makam itu sendiri tiada sebarang pintu masuk.

Pintu Masuk Binaan Makam

[sunting | sunting sumber]

Walaupun terdapat susunan batu bata bercorak kelarai di lantai Makam, susunan itu tidak dibuat di pintu masuk ke Makam. Batu bata yang disusun di luar tembok pintu masuk mempunyai corak biasa sahaja dan tanpa binaan asas bagi menahan keberatannya dan ianya juga tidak disusun mengikut dataran lantai tapak pintu masuk diikat di paras asas lantai dan menyambungkan lantai makam dengan batu senget. Susunan tersebut diwujudkan semula semasa dijalankan kerja restorasi untuk menguatkannya.

Gali cari di binaan menunjukkan satu pembinaan atau susunan yang agak pelik sedikit. Tembok di bahagian utara didirikan di tengah-tengah atas suatu susunan bata di bawah paras lantai. Susunan bata di sebelah kirinya atau dalam binaan nampaknya lebih teratur tetapi di luar temboknya hanya pecahan bata sahaja disusun. Tembok binaan di bahagian Selatan pula tiada sebarang susunan bata melainkan asas tembok.

Stratifikasi

[sunting | sunting sumber]

Makam Tua ini dibina di atas kemuncak sebuah bukit kecil, bukit batu lada (laterites). Bukit ini diratakan sehingga semua tanah atasnya dikikis dan dibuangkan. Apabila hampir ke tanah keras (core), parit digali untuk membina asasnya. Parit ini tidak digali sama dalamnya. Ia bergantung kepada kepadatan tanah di tempat-tempat yang tertentu. Temboknya terus didirikan di atas asas yang kukuh.

Lantai Makam

[sunting | sunting sumber]

Semasa mula-mula ditemui kawasan makam ini ditutupi dengan pasir laut. Pada awalnya ahli arkeologi menganggapkan bata-batanya disusun supaya kedataran tanah dan disusun seperti biasa tanpa corak. Galicari di kawasan lantai berjaya mendapat stratifikasinya. Kawasan lantai seperti mana diterangkan di atas diratakan. Lantai tembok luarnya padat. Pasir ditabur supaya ianya sama rata. Batu bata disusun rapat di atas pasir. Kemungkinan besar batu bata diganggu atau susunannya beralih sendiri. Itulah sebabnya pasir laut ditambah untuk menutupi batu bata supaya menentukan laluan yang baik. Keadaan susunan batu bata juga membuktikan pasir telah ditambah kemudian untuk meratakan kawasan.

Sistem susunan batu bata yang diamalkan oleh masyarakat ketika itu dapat dilihat pada lantai. Batu bata disusun sedemikian sehingga ianya merupai corak ikatan kelarai yang digunakan sebagai dinding atau hiasan di rumah-rumah orang Melayu. Galicari di kawasan Makam Tiga tempat dalam kawasan makam telah dipilih untuk digalicari bagi mengenalpasti kedudukan struktur makam dan mengumpul maklumat. Parit pertama dibuat di luar binaan di bahagian utara. Parit yang kedua di dalam makam di antara dinding dan parit yang ketiga di bahagian selatan. Setiap parit berukuran 1 meter persegi. Kedudukan tembok sudah pun diterangkan di bawah tajuk ‘Perihal Makam’. Setiap parit digali hingga ke 30 sm dan tiada sebarang artifak ditemui semasa digalicari. Jumpaan semasa restorasi

Makam ini mengandungi 4 strata iaitu pasir, bata, batu lada (laterite) dan tanah asalnya. Pasir yang atas sekali adalah kemungkinan besar ditambah kemudian untuk mengelakkan kerosakan kepada lantai batu bata untuk meratakan kedudukan lantai apabila lantai batu bata terbenam. Semasa menjalankan restorasi, bermacam-macam serpihan tembikar ditemui di paras pasir yang di atas sekali, dibawah paras susunan batu bata dan dalam plaster yang digunakan untuk mengikat batu bata struktur. Perjumpaan bahan ini amat penting kerana ianya boleh membantu menentukan masa dan seterusnya kaitannya dengan pembinaan. Ia juga merupakan jawapan kepada beberapa soalan dan kekuatiran yang terdapat tentang kedudukan makam ini. Kerja pertama dalam jadual restorasi ialah pembersihan persekitaran. Ini termasuk memotong dan membersih tumbuh-tumbuhan, mengalih pokok yang telah jatuh, menyusun batu bata tembok luar yang telah dihempap oleh pokok yang jatuh. Kebersihan batu bata bermakna membuang tanah atau plaster yang melekat kepada batu bata. Kerana ukuran batu bata yang digunakan berbeza, plaster yang tebal digunakan untuk mengekalkan susunan batu bata. Di sinilah terdapat sekeping mata wang Belanda dan serpihan tembikar. Serpihan tersebut dikenalpasti sebagai serpihak zaman Ming akhir (late Ming) kurun ke-17.

Di lapisan pasir pula terdapat serpihan seramik dinasti Ming akhir (late Ming), serpihan seramik Ming zaman Wan Li, Batawi Ware, semuanya kurun ke-17, dan serpihan-serpihan seramik Belanda (kurun18) dan lain-lain lagi (kurun19). Serpihan yang terdapat di paras tanah batu lada (loose laterite) di bawah susunan batu bata ialah serpihan tembikar ‘swatow ware’, serpihan tembikar sawankalok (kurun 14 -15), serpihan tembikar Ming (early Ming), serpihan tembikar Annamese dan seramik hijau (green ceramic).

Hujah arkeologi sebagai kubur Hang Tuah

[sunting | sunting sumber]

Sesuatu kubur panjang diwujudkan bukan kerana ketinggian seseorang yang memerlukan kubur yang panjang tetapi disebabkan kedudukan simati itu yang dipandang tinggi oleh masyarakat ketika itu kerana khidmat simati kepada masyarakat. Khidmat simati itu disanjung tinggi yang mana digambarkan di tempat kebumi simati itu. Kuburnya dibina dalam bentuk luar biasa sebagai tanda kesayangan dan mengenangkan jasa baik simati. Kubur-kubur panjang seperti ini bukan dibina oleh waris simati tetapi dibina secara gotong royong. Struktur Makam Tua ini membuktikan usaha dan perpaduan masyarakat ketika itu untuk membangunkan struktur tersebut. Bahan-bahan seperti batu bata Belanda, jubin lantai, bahan-bahan plaster perlu dihimpun dan dibawa ke bukit ini dan ini bukan satu kerja yang mudah ketika ianya dibina apatah lagi dengan keadaan ekonomi masyarakat Melayu pada penghujung zaman Portugis. Makam yang terbesar sekali ini sudah tentu bukan dibina untuk orang biasa. Yang dikebumikan di sini sudah tentu adalah seorang yang termasyhur dan disanjung tinggi. Memandangkan tiada perkuburan yang lain seperti struktur yang unik ini atau rekod-rekod lain yang menyebut tentang ada kubur termasyhur di Tanjung Keling dan berdasarkan kepada Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, ianya boleh dikatakan sebagai kubur Hang Tuah.

Struktur yang ada sekarang adalah dibina pada zaman Belanda. Jadi bentuk struktur asal, sekiranya telah ada, tidak dapat dibayangkan. Rekod-rekod sejarah tidak menerangkan mengenai bentuk struktur kubur-kubur yang dibina pada zaman Kesultanan Melaka. Walaupun rekod-rekod Portugis menyatakan bahawa mereka memperolehi batu dan batu bata dari Makam-makam yang terletak di kaki Bukit Melaka (Bukit St Paul), ianya tidak pula menunjukkan rekabentuk makamnya. Hanya terdapat sebuah kubur lama zaman Kesultanan Melaka di Pengkalan Kempas, Linggi yang mempunyai struktur yang tersendiri. Kubur lama itu yang dikenali dengan nama Keramat Sungai Udang mempunyai struktur yang dibina dengan blok-blok batu lada (laterite) yang besar. Kuburnya dikepung dengan batu-batu granit (granite) yang mengandungi kesan-kesan tulisan yang sudah pun tidak dapat dibaca. Keramat ini mengandungi batu bersurat yang menceritakan tentang kisah simati yang dikebumikan di situ.

Sama ada Makam Tua Tanjung Keling ini mempunyai struktur kubur yang sama atau tidak, tidak dapat dijelaskan; tetapi semasa restorasi makam ini tidak juga nampak kesan-kesan pembinaan lebih awal atau sesuatu blok batu lada atau asas bangunan yang lebih awal. Penggunaan batu bata hanya akan dikesan di Melaka mulai dari pertengahan kurun ke-16, walaupun terbukti batu bata digunakan dalam pembinaan candi-candi di Kedah. Kemungkinan besar makam ini tidak memiliki suatu struktur yang besar. Jika andaian ini diterima, tarikh dibina kubur ini adalah dijangkakan pada awal kurun ke-16 iaitu sebelum tahun 1511.

Bukti dari serpihan-serpihan seramik yang terdapat di kawasan makam ini bahawa pembinaan makam ini mempunyai dua peringkat iaitu pengkebumian mayat dan pembangunan struktur makam tersebut. Perbezaan zaman di antara serpihan-serpihan seramik yang ditemui adalah kemungkinan besar akibat dari kegiatan-kegiatan yang berlaku dari masa ke semasa di kawasan Makam Tua itu. Serpihan seramik berjenis-jenis menunjukkan kunjungan pedagang-pedagang dari pelbagai negara di kawasan ini. Ianya juga boleh dipastikan penggunaan seramik di Tanjung Keling mulai dari zaman Kesultanan Melaka. Mata wang Belanda dan serpihan-serpihan seramik zaman akhir Ming (late Ming) dalam plaster tembuk makam membuktikan masa atau zaman yang ianya dibina. Sayang sekali mata wang yang dijumpai mengalami kerosakan dan tidak begitu terang. Walaubagaimanapun lambang VOC dapat dilihat di syiling tersebut.

Ternyata struktur ini dibina pada zaman Belanda. Bahan-bahan yang ditemui diparas pasir yang atas sekali juga menyokong tafsiran tersebut. Tebal pasir adalah di antara 5 sm ke 25 sm mengikut dataran susunan batu bata. Pasir yang hampir dengan susunan batu bata adalah lebih padat dari pasir di paras atas serpihan-serpihan seramik yang ditemui adalah dari kegiatan pembuangan pasir. Identiti serpihan-serpihan dinasti akhir Ming dan batawi kurun 17. Hanya satu dua serpihan seramik sahaja dari kurun 19 terdapat dalam kawasan makam. Pada hal di luar kawasan makam terdapat banyak serpihan-serpihan dari abad ke-19 dan moden. Kemungkinan besar serpihan-serpihan seramik moden ini terbawa atau tercampak ke kawasan tersebut. Terdapat juga pecahan sebuah mangkuk yang dibuat di Labore, India. Menurut Dr. Othman Mohd. Yatim, serpihan mangkuk tersebut adalah yang pertama yang ditemui di Semenanjung. Beliau akan mengkajinya.

Penemuan serpihan-serpihan seramik Ming awal (early Ming) dan Sawankalok dalam struktur Makam Tua ini mempunyai erti yang besar. Penemuan di bawah paras susunan batu bata iaitu di bawah lantai mengesahkan dan menguatkan teori makam asalnya dibina pada zaman kesultanan Melaka. Mustahil bagi serpihan-serpihan seramik Ming awal dan Sawankalok masih digunakan di zaman Belanda dan tidak pula munasabah bahawa serpihan-serpihan seramik tersebut dibawa ke makam atau dicampak oleh pekerja-pekerja yang membina Makam Tua tersebut. Galican di luar kawasan makam tidak dapat diaturkan semasa menjalankan kerja restorasi. Ini adalah kerana di bahagian barat dan selatan terletak tanah perkuburan dan tanah di timur dan utara pula kepunyaan orang dan ianya juga digunakan untuk menanam sayur-sayuran. Rumah-rumah kampung pula terdapat lebih kurang 30 meter ke bahagian utara makam.

Satu fakta yang menarik perhatian iaitu pada tahun 1978 sebuah tempayan penuh dengan wang syiling Sultan Ahmad Shah telah ditemui semasa menjalankan kerja-kerja mendirikan pagar yang terletak lebih kurang 150 ela dari makam itu. Sultan Ahmad memerintah Melaka bagi pihak ayahandanya Sultan Mahmud Syah dan mengeluarkan mata wangnya di atas namanya. Tempayan itu telah dipecah-pecahkan oleh pekerja dan kebanyakan syiling-syiling itu dibuang di merata tempat.

Fakta Batu Nisan

[sunting | sunting sumber]

Sesuatu kubur hanya boleh dikenalpasti sekiranya tulisan-tulisan di batu nisan kubur itu menetapkan kubur itu kepunyaan siapa. Tanpa tulisan-tulisan itu bukti untuk mengidentitikan sesuatu kubur sukar diterima. Makam Tua ini mengandungi sepasang batu nisan buatan batu bukit. Batu nisan tersebut bentuknya tidak seperti bentuk batu nisan yang lain. Batu nisan kepala menunjukkan kesan-kesan tulisan Arab/Jawi tetapi malangnya hurufnya tidak dapat dibaca langsung. Ini kerana batu nisan terletak di tepi pantai dan perbuatan penduduk kampung yang membersih kesan lilin pada batu nisan telah mengikis huruf-huruf yang masih terdapat di batu nisan tersebut.

Walaupun terdapat bentuk-bentuk batu nisan kepunyaan zaman kesultanan Melaka, zaman Portugis dan zaman Belanda namun nisan Makam Tua ini tidak mengikuti bentuk zaman yang tertentu. Ini membuktikan iaitu identiti makam itu cuba disembunyikan. Pihak pemerintah Belanda tidak menghalang pembinaan struktur dan ketika itu bukanlah sukar untuk mendapatkan batu-batu nisan. Sebenarnya terdapat batu-batu nisan Aceh di kawasan tanah wakaf tersebut lebih kurang 40 meter dari struktur makam. Jadi dipercayai kubur asalnya sengaja disembunyikan dengan batu nisan buatan kasar dan kemudian pihak yang membina struktur makam ini sengaja enggan menukar batu nisan tersebut dengan batu nisan baharu (nisan Aceh). Justeru itu batu nisan yang sekarang sudah pun ada ketika itu dan kemungkinan besar batu nisan yang asal telah di kekalkan.

  1. Berita Harian (1985-03-10). Hang Tuah dikubur di Tg Keling. Dicapai pada 2025-11-09 melalui NewspaperSG. halaman 3
  2. Dikaji dan diperkenalkan oleh Kassim Ahmad (2017). Hikayat Hang Tuah. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 978-983-62-9984-0. Maka Tun Tuah pun tiada tersebut lagi, di dalam negeri itulah. Tetapinya, kata orang, Si Tuah tiada mati, kerana Si Tuah itu ia hulubalang segala laki-laki. Maka sekarang sekali khabarnya Tun Tuah ada di pucuk hulu Sungai Perak, ia duduk menjadi raja segala biduandanya orang hutan. m/s 548
  3. Iskandar Zulqarnain (2019-02-28). Keris Taming Sari Ada Disimpan Di Perak. Dicapai pada 2025-11-09 melalui Orang Perak.
  4. Berita Harian (1985-03-10). Masih ada yg tak yakin. Dicapai pada 2025-11-09 melalui NewspaperSG. halaman 3
  5. Mohd Azlan Mohd Sharif (2020-03-07). Makam Hang Tuah sebenarnya di Bandar Maharani?. Dicapai pada 2025-11-09 melalui Malaysiakini.
  6. Berita Harian (1962-07-17). MANDI SAFAR DI-TANJONG KELING. Dicapai pada 2025-11-09 melalui NewspaperSG. halaman 4
  7. Nurzuliana Kamaruzaman/Arkib Negara Malaysia (2021-01-08). Hari ini dalam sejarah : Melaka iktiraf makam Hang Tuah. Dicapai pada 2025-11-09 melalui Berita PAS.
  8. Tun Seri Lanang (Diselenggara oleh A. Samad Ahmad) (2015). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu (Edisi Pelajar). Dewan Bahasa dan Pustaka (cetakan ke-18). ISBN 978-983-62-5601-0. m/s 220, berdasarkan manuskrip bertarikh 1223 H / 1808 M
  9. Tun Seri Lanang (Diusahakan oleh W.G. Shellabear) (2016). Sejarah Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 978-983-49-0346-6. Syahadan, akan Laksamana Hang Tuah pun kembalilah ke rahmatullah. Maka oleh Sultan Mahmud ditanamkan di Tanjung Keling dengan sepenuh-penuh adat dianugerah. Tiga hari baginda tiada nobat. Maka Khoja Husin menggantikan mentuanya jadi laksamana. Maka Laksamana Khoja Husin beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah seorang laki-laki Tun Abdul namanya. Wallahuaklam bissawab. m/s 217, berdasarkan manuskrip bertarikh 1266 H / 1850 M
  10. Tun Seri Lanang, disuratkan oleh Tengku Said Ibni Tengku Deris (Diselenggara oleh Dr. Muhammad Yusoff Hashim) (2015). Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin)[Versi Siak]. Penerbit Kolej Universiti Islam Melaka. ISBN 978-967-12078-5-7. Hatta, maka Laksamana Hang Tuah sudah kembali ke Rahmat'uLlah. Maka ditanam akan baginda di Tanjung Keling, dengan sepenuh-penuh adat dianugerahkan baginda. Tiga hari baginda tiada nobat. Maka Khawaja Hasanlah jadi Laksamana, menggantikan mentuanya. Maka Laksamana Khawaja Hasan, beranak dengan anak Laksamana Hang Tuah, seorang laki-laki, bernama Tun Abdullah, wa'Llahu a'lam m/s 159, disuratkan oleh Tengku Said pada 1272 H / 1855 M, kemudian manuskrip ini disalin pada tahun 1310 H / 1893 M
  11. Prof. Emeritus Dato' Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (2014-09-26). Hang Tuah: Antara Mitos Dan Realiti. Dicapai pada 2025-11-16 melalui SCRIBD.