Formula rangka

Formula rangka, formula sudut garis, formula garis ikatan atau formula trengkas bagi sebatian organik ialah sejenis formula struktur minimalis yang mewakili atom, ikatan dan beberapa butiran geometri molekul. Garisan dalam sesuatu formula rangka mewakili ikatan antara atom karbon, melainkan dilabelkan dengan unsur lain.[1] Label merupakan sebuah pilihan bagi atom karbon dan atom hidrogen yang melekat padanya.
Bentuk awal perwakilan ini pertama kali dikembangkan oleh ahli kimia organik August Kekulé, manakala bentuk moden pula berkait rapat dan dipengaruhi oleh struktur Lewis bagi molekul dan elektron valensnya. Oleh itu, ia kadangkala dikenali sebagai struktur Kekulé[a] atau struktur Lewis-Kekulé. Formula rangka telah menjadi kelaziman dalam kimia organik, dengan salah satu sebab adalah kerana penggunaan struktur ini agak cepat dan mudah dilukis, dengan sebab lagi satu pula adalah kerana tatatanda anak panah melengkung yang digunakan untuk perbincangan mekanisme tindak balas dan pentaksetempatan elektron boleh sedia ditumpang tindih.
Terdapat beberapa cara lain yang menggambarkan struktur kimia juga biasa digunakan dalam kimia organik (walaupun kurang kerap berbanding formula rangka). Contohnya, struktur konformasi yang kelihatan serupa dengan formula rangka digunakan untuk menggambarkan kedudukan anggaran atom dalam bentuk lukisan perspektif ruang 3D. Jenis perwakilan lain seperti unjuran Newman, unjuran Haworth atau unjuran Fischer, juga kelihatan agak serupa dengan formula rangka. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dalam kelaziman yang digunakan, dan pembaca perlu menyedarinya untuk memahami butiran struktur yang dikodkan dalam gambaran tersebut. Walaupun struktur rangka dan struktur konformasi juga digunakan dalam kimia organologam dan kimia bukan organik, kelaziman yang digunakan juga agak berbeza.
Nota
[sunting | sunting sumber]- ^ Istilah ini sebenarnya bersifat samar, kerana "struktur Kekulé" juga merujuk kepada cadangan Kekulé yang terkenal berkenaan heksagon dengan selang seli ikatan tunggal-berganda pada struktur benzena.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ IUPAC Compendium of Chemical Terminology (dalam bahasa Inggeris) (ed. 5). Research Triangle Park, NC: International Union of Pure and Applied Chemistry. 2025. doi:10.1351/goldbook.08208.
Pautan luaran
[sunting | sunting sumber]- Melukis molekul organik daripada chemguide.co.uk