Pergi ke kandungan

Berendoi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Berendoi merupakan salah satu seni pentas yang dipersembahkan sempena upacara mencukur rambut bayi yang baru sahaja lahir.[1] Ia juga merupakan tradisi yang dilakukan oleh masyarakat Melayu dalam majlis keramaian seperti kenduri agar dapat memeriahkan suasana.[2] Dikir atau nazam yang terkandung dalam adat berendoi ini mempunyai unsur nasihat, seperti nasihat untuk mentaati kedua-dua ibu bapa.[3]

Berendoi merupakan kata terbitan daripada endoi, perkataan dalam dialek Utara untuk endul iaitu sejenis buaian[4] yang lazimnya digunakan untuk menidurkan bayi atau kanak-kanak.

Berendoi ini dikatakan berasal dari Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah, kemudian dikembangkan ke negeri Perlis secara bertahap.[5] Terdapat juga yang mengatakan berendoi ini berasal dari negeri Perlis bermula sekitar tahun 1930-an,[6] dan kini juga terdapat di negeri lain seperti di Kedah dan Perak,[7] serta Pahang.[3]

Perlaksanaan

[sunting | sunting sumber]

Upacara berendoi dilaksanakan apabila umur bayi mencapai tujuh hari, sekali dengan adat mencukur rambut. Bayi tersebut akan dinaikkan ke atas endoi atau endul.[8] Endoi tersebut digantung di tengah-tengah rumah, air satu jag dan juga sirih pinang yang diletakkan di dalam tepak sirih. Upacara berendoi ini boleh diadakan sama ada pada waktu siang atau malam hari.[6]

Perlaksanaan berendoi bermula dengan bacaan Yasin dan tahlil, kemudian diikuti dengan selawat, tahnik, mencukur jambul serta memberi nama yang baik. Lalu, barulah adat berendoi dilakukan dengan didendangkan perlbagai doa, puisi dan nazam, sambil bayi diletakkan di atas endoi. Kain batik atau songket digunakan sebagai kain endoi serta dihiasi dengan bunga agar dapat memberikan keceriaan padanya.[9]

Satu kumpulan endoi biasanya berjumlah empat orang atau lebih. Jumlah lagu (puisi atau nazam) yang didendangkan pada setiap kali persembahan bergantung pada kehendak tuan rumah.[6] Untuk pakaian persembahan, selalunya kaum lelaki memakai baju Melayu dengan kain pelekat atau pantalon, serta bersongkok atau berkopiah.[8] Jika kumpulan berendoi itu terdiri daripada kaum wanita sahaja, maka pakaiannya adalah seperti mana yang lazim dipakai oleh wanita hari ini, iaitu baju kurung dan sebagainya. Berendoi berfungsi sebagai hiburan dan pengajaran serta nasihat supaya anak mendengar nasihat ibu bapa. Nasihat bercorak agama disampaikan melalui lagu-lagu mengenai Rukun Islam serta kisah kehidupan Nabi Muhammad SAW.[6]

Berendoi dalam masyarakat lain

[sunting | sunting sumber]

Berendoi atau berendul ini dikenali sebagai naik buai atau bapukung[10] dalam masyarakat Banjar yang dilaksanakan sekaligus dengan adat bercukur rambut bayi.[11] Dalam bahasa Aceh pula ia dikenali sebagai dodaidi. Perkataan dodaidi berasal dari dua perkataan iaitu doda atau peudoda membawa makna "bergoyang" dan idi yang bermaksud "berayun".[9]

  1. ^ Kementerian Pendidikan Malaysia (1994). Ensiklopedia Sejarah Dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
  2. ^ : Harun Mat Piah (1989). Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  3. ^ a b Silahudin, S. (2021). "Kajian Unsur Budaya dalam Nazam Berendoi dan Dikir Rebana di Pahang" (PDF). Jurnal Akademi Pengajian Melayu.
  4. ^ "endoi" di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (Glosari Dialek Kedah).
  5. ^ Jasri; Abd. Ghani; Onn Aba (1991). "Berendoi- Budaya Tradisi Melayu Yang Semakin Dilupakan". Jurnal Warisan Indera Kayangan (3): 20.
  6. ^ a b c d "Berendoi". Laman DBP. Dewan Bahasa dan Pustaka. Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-05-03.
  7. ^ Abu Kassim, N. S. "PUISI ENDOI SEBAGAI INSTRUMEN DAKWAH UNTUK PEMBANGUNAN INSAN". RUMPUN JURNAL PERSURATAN MELAYU. 6 (1): 241–276.
  8. ^ a b "berendoi" di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (Ensiklopedia).
  9. ^ a b Abu Bakar, S. (2023). FILOSOFI UPACARA ADAT BERENDOI PERSPEKTIF MASYARAKAT KAMPUNG BUKIT BESAR, DAERAH YAN, KEDAH (PDF) (Skripsi).
  10. ^ Hussin, N.; Mohd Yunus, N. H.; Juharei, N. S.; Wan Mohd Saman, W. S. "Sosiobudaya masyarakat Banjar di Malaysia". Jurnal Sejarah Lisan Malaysia (JSLIM). 1 (1): 55.
  11. ^ Mahfudz, N.; Porodong, P. (2017). "Ritual-Ritual Kelahiran Etnik Banjar di Tawau, Sabah" (PDF). PROCEEDINGS ICOSH-UKM 2017: 1012.