Astro Ria
| Negara | |
|---|---|
| Kawasan penyiaran | |
| Slogan | Dunia Hiburan Anda (1 Jun 1996 - 28 September 2003) |
| Ibu pejabat | |
| Pengaturcaraan | |
| Bahasa | Melayu (utama) Mandarin |
| Format gambar | 16:9 HDTV (1080i) |
| Pemilikan | |
| Pemilik | Astro Malaysia Holdings |
| Induk | Astro |
| Saluran saudara | Astro Prima Astro Oasis Astro Citra Astro Rania Astro Aura |
| Sejarah | |
| Dilancarkan | |
| Ditutup | |
| Nama lama | Ria (1 Jun 1996 - 28 September 2003) |
| Ketersediaan | |
| Satelit | |
| Saluran 104 (HD) | |
| Saluran 104 (HD) | |
| Media penstriman | |
| Astro GO / Sooka / On Demand | |
Astro Ria (digayakan sebagai RIA pada awal pelancarannya) merupakan saluran televisyen berbayar milik Astro yang memulakan siaran pada 1 Jun 1996. Sebagai saluran berbahasa Melayu pertama di bawah rangkaian Astro, ia memfokuskan kepada kandungan berunsur hiburan umum yang menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat, khususnya golongan dewasa muda di Malaysia. Kandungan utamanya merangkumi program realiti, rancangan permainan, bual bicara, gaya hidup, serta drama bersiri.
Sejarah
[sunting | sunting sumber]Permulaan operasi siaran
[sunting | sunting sumber]Astro Ria memulakan siaran sulungnya pada jam 9:00 pagi, 1 Jun 1996, serentak dengan pelancaran perkhidmatan Astro yang pada ketika itu menawarkan 22 saluran (termasuk Astro Vaanavil dan Astro Wah Lai Toi). Pada peringkat awal, saluran ini hanya dikenali dengan nama Ria dalam penjenamaan di udara. Dengan slogan Dunia Hiburan Anda, Astro Ria diwujudkan sebagai pusat hiburan keluarga yang menyeluruh.
Kandungan awal saluran ini merangkumi pelbagai genre seperti:
- Rancangan Permainan: Program ikonik Roda Impian merupakan antara rancangan pertama yang menawarkan hadiah lumayan dan kenderaan mewah.
- Filem Klasik: Tayangan filem Melayu hitam-putih dari era 1950-an hingga 1960-an.
- Kandungan Lain: Dokumentari, program kanak-kanak, sukan, dan kuiz yang disiarkan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.
Evolusi perkhidmatan berita
[sunting | sunting sumber]Pada 6 Mei 2002, Astro Ria memperkenalkan Bloomberg RIA News, sebuah program berita perniagaan dan kewangan yang merupakan adaptasi bahasa Melayu bagi Bloomberg Malaysia. Rancangan ini bersiaran pada jam 10:45 malam dan diterbitkan oleh Amy Mahadi. Amir Mahmood Razak merupakan pengacara sulung bagi program ini sebelum beliau kemudiannya turut mengendalikan versi bahasa Inggeris.
Susulan pembubaran kerjasama antara Bloomberg Television dan Astro pada 29 September 2003, Astro melancarkan jenama berita dalamannya sendiri yang dikenali sebagai Berita Astro. Program ini kemudiannya dijenamakan semula sebagai Berita Bernama pada 15 April 2007 hasil kerjasama dengan pihak Bernama.
Walau bagaimanapun, bahagian berita Astro mengalami transisi besar pada tahun 2007 dengan pelancaran Astro AWANI pada bulan September tahun tersebut. Sejak itu, program berita utama Sinar Awani turut disiarkan secara serentak (simulcast) di Astro Ria pada jam 8:00 malam, Isnin hingga Jumaat.
Pencetus budaya popular
[sunting | sunting sumber]Pada Jun 2003, Astro Ria memperkenalkan Akademi Fantasia, sebuah program realiti yang diadaptasi daripada format siri televisyen Mexico, La Academia. Pertandingan ini menyaksikan 12 peserta bersaing untuk gelaran juara, dan popularitinya yang luar biasa di Malaysia serta Brunei telah mencetuskan penghasilan versi francais di Indonesia dan Thailand.
Memasuki musim kedua, sistem undian telah diperluaskan untuk melibatkan penonton dari Brunei (Kristal-Astro). Manakala pada musim ketiga, jumlah peserta ditingkatkan kepada 14 orang, yang menyaksikan Mawi muncul sebagai juara dan mencatatkan fenomena dalam industri muzik tanah air. Musim keempat menyusul pada Mei 2006. Setelah 13 tahun bersiaran, siri Akademi Fantasia secara rasminya ditamatkan pada 9 Oktober 2016. Slot program realiti utama saluran ini kemudiannya digantikan oleh Big Stage yang mula bersiaran pada 5 Ogos 2018.
Penyiaran mudah alih
[sunting | sunting sumber]Pada awal tahun 2008, Astro Ria mula ditawarkan melalui peranti mudah alih melalui pelancaran Astro Ria Mobile. Perkhidmatan ini membolehkan pelanggan mengakses kandungan saluran tersebut secara digital menerusi platform Astro Mobile TV.
Pengaturcaraan tematik Aidilfitri
[sunting | sunting sumber]Astro Ria Plus telah dilancarkan sebagai saluran tambahan khusus bagi menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri. Saluran ini memfokuskan kepada pengisian program istimewa bertemakan perayaan yang menekankan elemen hiburan dan nilai kekeluargaan. Selain siaran televisyen konvensional, kandungan tersebut turut ditawarkan melalui perkhidmatan penstriman digital Astro On-The-Go (kini dikenali sebagai Astro GO) bagi membolehkan akses menerusi peranti pintar dan tablet.
Ria X
[sunting | sunting sumber]Pada 7 Mei 2019, Astro Ria memperkenalkan Ria X, sebuah jenama blok televisyen dan platform digital yang memfokuskan kepada kandungan bual bicara serta siri televisyen sempena bulan Ramadan dan Syawal. Inisiatif ini merupakan kolaborasi merentas saluran berbahasa Melayu di bawah rangkaian Astro, termasuk Astro Prima, Astro Warna, dan Naura (sehingga 1 Februari 2022).
Walau bagaimanapun, pengoperasian Ria X di platform YouTube ditamatkan secara rasmi pada September 2022. Walaupun akaun media sosial lain seperti Facebook dan Instagram kekal aktif sehingga Mac 2024, pengurusan kandungan digital bagi jenama ini telah diserap sepenuhnya ke dalam portal hiburan Astro Gempak.
Astro Ria HD
[sunting | sunting sumber]Astro Ria mula memperkenalkan siaran dalam format definisi tinggi (HD) secara berperingkat, bermula dengan penyiaran acara langsung terpilih seperti konsert akhir Akademi Fantasia musim kelapan dan kesembilan, serta program Mari Menari. Pada waktu tersebut, kandungan HD disiarkan menerusi saluran khas (pop-up channel) di bawah jenama Astro B.yond (saluran 124 dan 188).
Pada 29 Mei 2015, Astro Ria menjadi saluran berbahasa Melayu pertama yang memulakan siaran HD secara tetap melalui format siaran serentak (simulcast) di Saluran 123. Naik taraf ini turut dilengkapi dengan sistem bunyi Dolby Digital 5.1 khusus untuk pelanggan Astro B.yond.
Berikutan penyusunan semula senarai saluran oleh Astro pada 1 April 2020, versi HD bagi Astro Ria telah dipindahkan ke saluran 104, manakala versi SD ditempatkan di saluran 124. Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi penyelarasan saluran HD yang diutamakan oleh pihak Astro. Akhirnya, pada 12 April 2021, siaran dalam format SD ditamatkan sepenuhnya, menjadikan Astro Ria sebuah saluran yang bersiaran dalam format HD secara menyeluruh.
Kerjasama dengan Wonda Coffee
[sunting | sunting sumber]Sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-61, Astro Ria telah menjalani penjenamaan semula sementara sebagai Astro Wonda Ria melalui kolaborasi strategik bersama jenama Wonda Coffee. Inisiatif ini berlangsung selama 24 jam, bermula pada 16 September sehingga 17 September 2024, yang menyaksikan pengisian kandungan saluran tersebut disesuaikan dengan tema sambutan tersebut.
Lain-lain
[sunting | sunting sumber]Astro Ria turut menjadi penyiar rasmi bagi pelbagai acara tahunan berprestij dalam industri hiburan tanah air, antaranya termasuklah Anugerah Era (kini dikenali sebagai Anugerah MeleTOP Era), Festival Filem Malaysia, dan Anugerah Seri Angkasa. Selain program hiburan, saluran ini juga menyediakan liputan langsung bagi acara nasional seperti Perhimpunan Agung UMNO yang dipancarkan secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (kini Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur atau WTCKL).
Pada 10 November 2023, Astro Ria melancarkan HeroDewi Remaja, sebuah program pencarian bakat dan personaliti yang buat pertama kalinya menggabungkan dua jenama ikonik, Hero Remaja dan Dewi Remaja. Rancangan ini merupakan terbitan bersama Astro dengan kerjasama Nu Ideaktiv (penerbit majalah Remaja). Program ini bersiaran pada jam 10:00 malam setiap Jumaat, dengan peringkat akhir berlangsung pada 30 Disember 2023.[1]
Di Singapura, Astro Ria turut ditawarkan menerusi Singtel TV di saluran 608.
Identiti dan penjenamaan
[sunting | sunting sumber]Etimologi nama
[sunting | sunting sumber]Nama Astro Ria menggunakan perkataan "Ria", yang melambangkan kegembiraan, ekspresi positif, dan kebahagiaan. Penggunaan istilah ini (sering dikaitkan dengan frasa "riang ria") mencerminkan hala tuju saluran tersebut sebagai platform hiburan utama yang menampilkan barisan artis dan pengacara popular bagi menghiburkan penonton.
Evolusi logo
[sunting | sunting sumber]Astro Ria telah melalui beberapa fasa perubahan identiti visual sejak pelancarannya:
- 29 September 2003: Astro Ria memperkenalkan identiti baharu yang menampilkan dua kotak segi empat tepat dengan elemen garisan lengkung (wave curve) di bahagian tengah. Tanda kata (wordmark) "astro RIA" digayakan dengan warna putih, memberikan rupa yang lebih moden pada waktu tersebut.
- 20 November 2024: Selepas 21 tahun mengekalkan identiti sebelumnya, Astro Ria melancarkan logo baharu yang lebih kontemporari. Reka bentuk ini menampilkan garisan melengkung putih yang lebih tebal dan dinamik, dengan skema warna baharu yang menggabungkan rona magenta dan ungu. Transformasi ini menandakan berakhirnya era penggunaan warna ungu tunggal yang telah menjadi identiti ikonik saluran tersebut sejak sekian lama.
Galeri
[sunting | sunting sumber]-
Logo ketiga Astro Ria
(29 Sep 2003-15 Apr 2007) -
Logo ketiga Astro Ria versi HD
(29 Mei 2015-19 Nov 2024) -
Logo khas Astro Wonda Ria
(16-17 Sep 2024) -
Logo terkini Astro Ria
(sejak 20 Nov 2024)
Cogan kata
[sunting | sunting sumber]- Dunia Hiburan Anda
Sejarah penomboran saluran
[sunting | sunting sumber]Berikut merupakan kronologi perubahan nombor saluran bagi Astro Ria sejak permulaan operasinya:
- 1 Jun 1996: Memulakan siaran di saluran 1.
- 1 November 1999: Dipindahkan ke saluran 2 susulan penyusunan semula saluran Astro.
- 1 Januari 2002: Nombor saluran dikemas kini ke saluran 4.
- 1 Oktober 2007: Astro memperkenalkan sistem penomboran tiga digit, menyaksikan Astro Ria berpindah ke saluran 104.
- 29 Mei 2015: Versi definisi tinggi (HD) dilancarkan secara rasmi di saluran 123.
- 1 April 2020: Selaras dengan keutamaan kandungan HD oleh Astro, saluran 104 telah dinaiktaraf kepada format HD sepenuhnya, manakala versi definisi standard (SD) dipindahkan ke saluran 124.
- 12 April 2021: Siaran format SD di saluran 124 ditamatkan secara rasmi. Ruang saluran tersebut kemudiannya diisi oleh TVB Magic pada 19 Jun 2023 (sehingga penamatannya pada 1 April 2024), manakala Astro Ria kekal beroperasi di saluran 104 (HD).[2]
Azan
[sunting | sunting sumber]Sepanjang bulan Ramadan, Astro Ria menyelaras pengaturcaraan mereka dengan menyiarkan melaungkan azan Subuh dan azan Maghrib sebagai panduan waktu imsak dan berbuka puasa bagi para penonton.
Blok rancangan dan pengaturcaraan berita
[sunting | sunting sumber]Intisari rancangan Astro Ria turut diletakkan di akhbar tempatan, satu-satunya saluran berbayar di Malaysia yang sedemikian.[3][4][5][6][7][8][9]
Sedang disiarkan
[sunting | sunting sumber]- Gegar Vaganza
- Big Stage
- Generasi Fantasia
- MeleTOP
- DramaVaganza
- MegaDrama
- Sinar Awani
- Slot drama berbahasa Cina
Astro Ria (Singapura)
[sunting | sunting sumber]| Pengaturcaraan | |
|---|---|
| Bahasa | Melayu |
| Format gambar | 16:9 HDTV (1080i) |
| Pemilikan | |
| Pemilik | Astro |
| Induk | |
| Sejarah | |
| Dilancarkan | |
| Ditutup | |
| Ketersediaan | |
| IPTV | |
| Saluran 608 (HD) | |
| Media penstriman | |
| Singtel CAST | |
Sejarah penomboran saulran
[sunting | sunting sumber]Astro Ria turut ditawarkan di Singapura menerusi platform Singtel TV (dahulunya mio TV) dengan kronologi penomboran seperti berikut:
- 23 Mac 2009: Mula ditawarkan di platform mio TV menerusi saluran 34.
- 13 September 2012: Berikutan penyelarasan sistem penomboran tiga digit oleh Singtel TV, Astro Ria telah dipindahkan ke saluran 608.
- 1 Jun 2019: Versi definisi tinggi (HD) dilancarkan secara rasmi di saluran 608 bagi menggantikan format definisi standard (SD) secara sepenuhnya di platform tersebut.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Hero & Dewi Remaja 2023 digabungkan. Misi pencarian bermula dengan penuh debaran
- ^ Saluran baharu TVB Magic tersedia di Astro, bawakan lebih banyak kandungan Asia
- ^ "Intisari Rancangan Astro Ria". Utusan Melayu. 20 November 2016.
- ^ "Intisari Rancangan Astro Ria". Utusan Melayu. 25 Oktober 2014.
- ^ "PROGRAM Get It Beauty On the Road akan mula disiarkan di Astro". Berita Harian. 25 September 2018.
- ^ "Intisari Rancangan Astro Ria". Utusan Melayu. 18 September 2016.
- ^ "Intisari Rancangan Astro Ria". Utusan Melayu. 19 Julai 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-01-25. Dicapai pada 2019-01-24.
- ^ "Dewi Remaja kembali lagi eksklusif di Astro Ria, Ria HD malam ini". Utusan Borneo. 25 November 2018.
- ^ "Intisari Rancangan Astro Ria". Utusan Melayu. 25 September 2016.